Pinjaman LPPSA adalah pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia kepada penjawat awam bagi membiayai pembelian rumah atau tanah.
Terdapat tujuh jenis pinjaman LPPSA yang ditawarkan, setiap satu jenis pinjaman mempunyai tujuan yang berbeza. Semakan kelayakan bagi memohon ketujuh-tujuh jenis pinjaman ini boleh dibuat secara online.
Berikut adalah tujuh jenis pinjaman LPPSA yang anda boleh pilih berserta siapakah yang sesuai untuk menggunakan jenis pinjaman tersebut.
Pinjaman LPPSA Jenis 1 - Membeli Rumah Yang Telah Siap.

Pinjaman LPPSA Jenis 1 adalah untuk penjawat awam membeli rumah yang telah siap. Rumah yang telah siap bermaksud rumah sub-sale iaitu rumah yang telah dimiliki oleh individu lain atau rumah yang telah siap dibina oleh pemaju perumahan (developer).
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 1?
Penjawat awam yang ingin membeli rumah yang sudah sedia untuk didiami dan mempunyai ciri-ciri rumah kediaman.
Keadaan rumah yang ingin dibeli dengan Pinjaman LPPSA Jenis 1.
Keadaan rumah yang ingin dibeli perlu dipastikan sesuai untuk didiami bagi mengelakkan kadar pinjaman dinilai rendah atau permohonan ditolak oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) semasa proses penilaian hartanah.
Rumah kedai bagi tujuan komersil tidak layak untuk memohon pinjaman LPPSA.
Pengalaman Suria Din & Associates dengan Pinjaman LPPSA Jenis 1.
Pinjaman LPPSA Jenis 1 adalah jenis pinjaman yang paling kerap kami kendalikan. Di antara proses yang kami bantu penjawat awam untuk memohon pinjaman jenis ini adalah :
- Memberikan bimbingan bagi penjawat awam yang tiada pengalaman memohon pinjaman LPPSA.
- Menyediakan sebut harga guaman bahagian gadaian yang lengkap bagi digunakan ketika permohonan.
- Menyediakan draf Perjanjian Jual Beli (S&P) bagi digunakan ketika memohon.
- Menyerahkan dokumen permohonan yang lengkap kepada LPPSA dan JPPH untuk penilaian.
Pinjaman LPPSA Jenis 2 - Membina Rumah Di Atas Tanah Sendiri.

Pinjaman LPPSA Jenis 2 adalah bertujuan untuk membiayai kos pembinaan rumah ke atas tanah dimiliki oleh penjawat awam.
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 2?
Penjawat awam yang sudah memiliki sebidang tanah dan ingin membina rumah di atas tanah tersebut.
Jenis geran tanah untuk memohon Pinjaman LPPSA Jenis 2.
Secara umumnya, geran tanah yang layak untuk memohon pinjaman ini adalah jenis geran hakmilik individu.
Bagi status geran kongsi, hanya geran tanah yang dikongsi dengan pasangan sahaja dibenarkan untuk memohon jenis pinjaman ini menurut klausa 7.4.3 (iii) dalam Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA. Tanah juga perlu bebas dari sebarang bebanan atau sekatan kepentingan.
Berdasarkan pengalaman kami, sebaik-baiknya pastikan tanah anda tersebut mempunyai akses jalan masuk sebelum membuat permohonan. Ini adalah kerana, ada pelanggan kami yang ditolak permohonan LPPSA beliau kerana tanah miliknya tiada akses jalan untuk masuk.
Pemilihan kontraktor bagi Pinjaman LPPSA Jenis 2.
Urusan Pinjaman LPPSA Jenis 2 ini akan melibatkan khidmat kontraktor. Kontraktor yang dipilih wajib berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Anda boleh semak maklumat pendaftaran CIDB kontraktor yang anda pilih di sini.
Pengalaman Suria Din & Associates dengan Pinjaman LPPSA Jenis 2.
Di antara proses yang kami bantu penjawat awam untuk memohon pinjaman LPPSA jenis 2 adalah :
- Memberikan bimbingan bagi penjawat awam dan kontraktor dalam permohonan LPPSA.
- Menyediakan sebut harga guaman bahagian gadaian yang lengkap bagi digunakan ketika permohonan.
- Menyediakan draf Perjanjian Kontraktor (Contractor Agreement) bagi digunakan ketika memohon.
- Menyerahkan dokumen permohonan yang lengkap kepada LPPSA dan JPPH untuk penilaian.
Pinjaman LPPSA Jenis 3 - Membeli Rumah Dalam Pembinaan (Under Construction).

Jika anda ingin membeli rumah yang sedang dalam pembinaan, anda boleh memohon Pinjaman LPPSA Jenis 3. Rumah under construction selalunya dijual oleh pemaju perumahan.
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 3?
Penjawat awam yang ingin membeli rumah yang masih dalam proses pembinaan (under construction) dari pemaju.
Jenis hartanah bagi memohon Pinjaman LPPSA Jenis 3.
Rumah perlu dibina di atas satu (1) lot tanah yang mempunyai hakmilik individu (individual title). Bagi hakmilik induk (master title), kategori tanah wajib adalah untuk banggunan. Jika kategori pertanian, pertukaran kategori kegunaan tanah kepada banggunan perlu diluluskan dahulu.
Syarat Pemaju dalam Pinjaman LPPSA Jenis 3.
Pemaju perlu menyertakan Lesen Pemaju Perumahan dan Permit Iklan yang masih berkuat kuasa untuk dicatatkan di dalam Perjanjian Jual Beli (Sales & Purchase Agreement).
Pinjaman LPPSA Jenis 4 - Membeli Sebidang Tanah Untuk Pembinaan Rumah.

Satu-satunya jenis pinjaman LPPSA bertujuan untuk membeli tanah adalah Pinjaman LPPSA Jenis 4. Tanah yang dibeli menerusi pinjaman ini mestilah bertujuan untuk dibina rumah di atasnya.
Jika anda perlukan pinjaman untuk membina rumah ke atas tanah ini nanti, anda boleh membuat permohonan Pinjaman LPPSA Jenis 6.
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 4?
Penjawat awam yang ingin membeli sebidang tanah sebelum membina rumah ke atasnya.
Jenis tanah bagi memohon Pinjaman LPPSA Jenis 4.
Tanah yang dibenarkan adalah tanah yang mempunyai Hakmilik Individu dan tiada sebarang binaan ke atasnya. Pembelian tanah terhad kepada satu (1) lot sahaja.
Bagi membeli tanah kategori Pertanian, ia tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965/ Ordinan Tanah Sabah (Sabah Cap 68)/ Kanun Tanah Sarawak 1958 dan syarat/ peraturan Pejabat Tanah dan Galian peringkat Negeri.
Pinjaman LPPSA Jenis 5 - Refinance / Selesai Hutang Rumah Dari Bank.

Jika anda sudah memiliki rumah atau tanah yang dibeli melalui pinjaman bank, anda boleh selesaikan pinjaman bank tersebut dengan pinjaman LPPSA Jenis 5. Istilah biasa yang digunakan adalah Refinance.
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 5?
Penjawat awam yang ingin mendapatkan manfaat kadar faedah tetap yang lebih rendah berbanding kadar faedah bank. Pinjaman ini tidak boleh refinance rumah atau tanah yang pernah dibiayai oleh LPPSA.
Jika anda refinance tanah anda dengan pinjaman ini, anda boleh bina rumah dengan pinjaman LPPSA jenis 6.
Ada wang lebihan jika refinance dengan Pinjaman LPPSA Jenis 5?
Tiada sebarang sebarang wang lebihan di dalam Pinjaman LPPSA Jenis 5 kerana nilai pinjaman perlu sama dengan nilai baki pinjaman bank.
Syarat hartanah untuk refinance ke Skim LPPSA.
Hakmilik hartanah tersebut haruslah didaftarkan ke atas nama anda sendiri dan dicagarkan kepada bank.
Bagi hartanah yang masih atas nama pemaju atau dalam hakmilik induk, nama anda perlu dicatatkan sebagai pembeli didalam Perjanjian Jual Beli terdahulu.
Baki hutang lebih dari kelayakan, boleh mohon?
Andai kata baki hutang anda dengan bank lebih dari kelayakan anda, anda harus menjelaskan dulu wang beza kepada bank terlebih dahulu sebelum teruskan dengan permohonan.
Pinjaman LPPSA Jenis 6 - Membina Rumah Atas Tanah Yang Dibeli dengan Pinjaman LPPSA Jenis 4.

Selepas anda sudah membeli tanah melalui Pinjaman LPPSA Jenis 4, anda boleh meneruskan hasrat untuk membina rumah ke atas tanah tersebut dengan Pinjaman LPPSA Jenis 6.
Siapakah yang sesuai memohon Pinjaman LPPSA Jenis 6?
Penjawat awam yang ingin membina rumah ke atas tanah yang dibeli melalui Pinjaman LPPSA Jenis 4 atau tanah yang telah refinance dengan Pinjaman LPPSA Jenis 5. Pastikan tiada tunggakan bayaran balik.
Pemilihan kontraktor bagi Pinjaman LPPSA Jenis 6.
Urusan Pinjaman LPPSA Jenis 6 ini akan melibatkan khidmat kontraktor. Kontraktor yang dipilih wajib berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Anda boleh semak maklumat pendaftaran CIDB kontraktor yang anda pilih di sini.
Syarat tanah bagi memohon Pinjaman LPPSA Jenis 6.
Hakmilik individu bagi tanah tersebut perlu didaftarkan ke atas nama anda dan telah dicagarkan kepada LPPSA. Sebarang binaan ke atas tanah tersebut tidak dibenarkan. Rumah yang dibina ke atas tanah tersebut hendaklah mengikut pelan yang dilampirkan semasa permohonan.
Pinjaman LPPSA Jenis 7 - Kerja Ubahsuai Rumah / Renovation.

Bagi penjawat awam yang sudah memiliki rumah dan berhasrat untuk mengubahsuai rumah, anda boleh membiayai tujuan tersebut dengan memohon Pinjaman LPPSA Jenis 7.
Rumah yang sesuai bagi Pinjaman Ubahsuai Rumah LPPSA.
Hanya rumah hakmilik yang dicagarkan di LPPSA (hartanah yang dibeli melalui LPPSA) atau geran yang telah dilepas gadai dibenarkan untuk memohon pinjaman ini.
Jenis ubahsuai yang dibenarkan.
Hanya ubahsuai yang akan menambah keluasan rumah dibenarkan. Ini bermakna ubahsuai bagi menambah awning atau pagar yang bersifat kosmetik pada rumah anda tidak akan diluluskan oleh LPPSA.
Pemilihan kontraktor bagi Pinjaman LPPSA Jenis 7.
Urusan Pinjaman LPPSA Jenis 7 ini akan melibatkan khidmat kontraktor. Kontraktor yang dipilih wajib berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Anda boleh semak maklumat pendaftaran CIDB kontraktor yang anda pilih di sini.
Anda Ingin Memohon Pinjaman LPPSA?
Selanjutnya anda boleh menyemak kelayakan LPPSA anda dengan merujuk kepada artikel Cara Semak Kelayakan LPPSA terlebih dahulu.
Untuk lanjutkan dengan permohonan, anda perlukan peguam LPPSA yang berpengalaman bagi menguruskan permohonan dan proses dokumentasi pembiayaan LPPSA anda.
Suria Din & Associates adalah firma guaman panel LPPSA yang mempunyai kapasiti dan tenaga kerja yang terbaik bagi menguruskan permohonan kesemua jenis pinjaman LPPSA di atas.
Kami telah berjaya membantu penjawat awam seluruh negara untuk memohon pinjaman LPPSA sehingga lulus dan seterusnya merealisasikan hasrat mereka untuk memiliki sebuah rumah kediaman.
Ingin melantik Suria Din & Associates sebagai Peguam LPPSA anda? Nyatakan hasrat anda melalui whatsapp atau panggilan telefon. Peguam-peguam kami sedia membantu anda.