Kelebihan pemilik rumah kampung.
Pembelian rumah kediaman pada hari ini tidak hanya tertumpu pada rumah yang dibina dalam kawasan bandar. Menurut bancian statistik MyCencus yang terkini, 29% dari 34.2 juta rakyat Malaysia lebih cenderung untuk tinggal di kawasan luar bandar atau lebih dikenali dengan kawasan kampung.
Mereka mungkin memilih untuk tinggal di kawasan kampung kerana ianya menawarkan kehidupan yang lebih tenang dan santai berbanding tinggal di kawasan bandar.
Bagi sesetengah individu, rumah kampung mempunyai nilai sentimental yang tinggi melalui perwarisan keluarga turun-temurun.
Disamping itu, pemilik rumah kampung dapat menikmati ruang kawasan tanah yang luas di sekeliling bagi aktiviti pertanian dan penternakan haiwan ternakan secara kecil-kecilan.
Perbezaan rumah yang dibina oleh pemaju dan rumah kampung.
Kebiasaannya rumah yang dibina oleh pemaju dilengkapi dengan sistem perparitan, pelan jalan dan jalan masuk yang berturap. Ia juga mempunyai pelan pembinaan yang lengkap serta diluluskan oleh Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Negeri.
Pemilik rumah ini juga mempunyai geran individu yang didaftarkan ke atas nama mereka dan tidak berkongsi dengan individu-individu lain yang tidak mempunyai kepentingan.
Situasi ini berbeza dengan rumah kampung yang kebanyakannya dibina di atas tanah milik persendirian atau di atas tanah yang dimiliki atas individu-individu lain di dalam geran.
Timbul persoalan bagi individu yang berhajat untuk membeli rumah kampung, adakah rumah kampung boleh dijual beli dan ditukar milik?
Terdapat dua perkara yang perlu diteliti oleh pembeli dan penjual dalam urusniaga dan pindahmilik rumah kampung jika pembeli ingin membeli rumah kampung dengan menggunakan pembiayaan bank.
Dua perkara yang perlu diteliti dalam urusniaga rumah kampung
1) Geran hakmilik individu, bukan geran kongsi.
Penjual rumah kampung perlu pastikan rumah tersebut dibina di atas tanah yang mempunyai geran hakmilik individu dan tidak berkongsi dengan penama-penama lain (Geran Kongsi) bagi membolehkan pembeli menggunakan pembiayaan bank.
Ini kerana, geran tersebut akan dipindahmilik ke atas nama pembeli dan dicagarkan kepada bank yang membiayai pembelian rumah kampung tersebut.
Jika geran bagi rumah kampung tersebut adalah Geran Kongsi, pihak bank tidak dapat meluluskan permohonan pembiayaan pembeli kerana penama-penama lain di dalam geran akan terkesan akibat dari urusniaga rumah kampung ini.
2. Pelan Pembinaan yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran/Pihak Berkuasa yang berkenaan
Jika pembeli ingin membeli rumah kampung dengan menggunakan pembiayaan bank, penjual perlu kemukakan resit cukai pintu yang memaparkan alamat rasmi rumah kampung tersebut.
Resit cukai pintu hanya akan diperoleh jika rumah kampung tersebut dibina menggunakan pelan pembinaan yang telah diluluskan oleh pihak Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Negeri.
Mengemukakan resit cukai pintu ini bertujuan untuk mengesahkan maklumat rumah kampung tersebut adalah hartanah yang sama dibiayai dan dicagarkan kepada pihak bank nanti.
Jika penjual tidak dapat mengemukakan resit cukai pintu, pihak bank akan meluluskan pembiayaan pembeli menggunakan nilaian hartanah sahaja, tidak termasuk binaan rumah yang dibina atas tanah tersebut. Ini akan mengakibatkan kerugian kepada pihak penjual kerana telah menghabiskan kos pembinaan ke atas rumah kampung tersebut.
Situasi ini tidak akan berlaku sekiranya pembeli ingin membeli rumah kampung secara tunai dan tidak melibatkan pihak bank.
Kesimpulan
Rumah kampung boleh dijual beli dengan mudah sekiranya urusniaga rumah kampung tidak melibatkan pembiayaan bank.
Jika urusniaga rumah kampung yang melibatkan pembiayaan bank, melampirkan dokumen-dokumen yang lengkap akan memastikan pindahmilik rumah kampung berjalan dengan lancar dan baik tanpa merugikan mana-mana pihak.
Jika anda mempunyai niat untuk membeli rumah kampung secara tunai atau melalui pembiayaan bank, Suria Din & Associates boleh uruskan urusniaga rumah kampung anda sehingga selesai.
Hubungi kami melalui whatsapp atau panggilan telefon bagi mendapatkan nasihat lanjut dan sebutharga khidmat guaman.