Masih ada penjawat awam yang masih belum tahu cara-cara untuk menyemak kelayakan LPPSA secara online. Mungkin kesuntukan masa atau kurang pengetahuan teknikal menjadi batu penghalang.
Kini tidak lagi! Kami akan tunjukkan langkah demi langkah bagi membolehkan anda menyemak sendiri kelayakan LPPSA anda.
Nak lebih mudah? Firma peguam panel LPPSA kami boleh bantu untuk semak kelayakan bagi pihak anda secara percuma!
Adakah penting untuk Semak Kelayakan LPPSA?
Semakan kelayakan LPPSA dapat memberikan anda anggaran kelayakan anda secara 'on-paper' supaya anda dapat membuat keputusan yang tepat ketika memohon pinjaman LPPSA kelak. Berikut adalah beberapa kepentingan bagi anda untuk menyemak kelayakan LPPSA :
1) Semak kelayakan sesuai dengan harga belian rumah.
Dengan menyemak kelayakan LPPSA, anda dapat pastikan kelayakan anda sesuai dengan harga belian rumah idaman anda. Secara tidak langsung, ia akan melancarkan proses permohonan LPPSA nanti.
2) Semak komitmen ansuran sesuai dengan perbelanjaan bulanan.
Semakan kelayakan LPPSA akan memberikan anda maklumat anggaran ansuran bulanan dan anggaran tempoh ansuran. Maklumat ini dapat digunakan oleh anda untuk membuat kira-kira komitmen bulanan anda sendiri.
3) Memastikan pemohon memenuhi syarat.
Sistem semakan kelayakan LPPSA akan menapis pemohon yang tidak memenuhi syarat lebih awal. Maklumat ini dapat menjimatkan masa dan mengelak dari permohonan LPPSA anda ditolak.
Persediaan untuk Semak Kelayakan LPPSA.
1) Akaun LMS LPPSA.
Untuk menyemak kelayakan LPPSA, anda wajib mempunyai akaun LMS LPPSA. Jika anda belum pernah mendaftar akaun LMS LPPSA, anda boleh mendaftar di sini.
Kemaskini 16 March 2026 : Anda boleh menyemak kelayakan LPPSA walaupun tidak mempunyai akaun LMS LPPSA dengan menggunakan Sistem SMART KIRA LPPSA.
2) Slip gaji terkini.
Cetak slip gaji terkini untuk mudah dirujuk ketika semakan. Maklumat yang akan digunakan di dalam slip gaji adalah Gaji Bulanan, Elaun Tetap Bulanan dan Potongan.
3) Maklumat peribadi.
Maklumat peribadi yang akan digunakan dalam proses semakan adalah tarikh lahir anda, Skim Persaraan (KWSP / Pencen) dan Umur persaraan.
4) Anggaran nilai pinjaman.
Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat dari peguam panel LPPSA yang anda lantik. Mereka akan berikan nilai pinjaman yang sesuai bagi tujuan pembelian rumah anda. Nilai anggaran ini yang akan digunakan di dalam perjanjian jual beli nanti.
5) Anggaran tempoh pinjaman.
Secara umumnya, tempoh maksimum bagi pembiayaan LPPSA adalah 35 tahun (420 bulan). Faktor umur anda akan memainkan peranan penting dalam penentuan tempoh maksimum pinjaman. Anda boleh memilih tempoh pinjaman lebih pendek dari tempoh maksimum jika anda mahu.
Siapa yang layak untuk Semak Kelayakan LPPSA?
Semua penjawat awam berjawatan tetap yang ingin memohon pinjaman LPPSA bagi membeli rumah adalah disarankan untuk semak kelayakan.
Penjawat awam berstatus kontrak tidak layak untuk memohon pinjaman LPPSA.
Bagi pemohon pinjaman LPPSA kali kedua, anda perlu memastikan pinjaman LPPSA pertama anda diselesaikan terlebih dahulu. Mengikut pengalaman kami yang lepas, permohonan LPPSA anda tetap akan ditolak walaupun sistem semak kelayakan LPPSA menyatakan anda layak.
Kecuali bagi peminjam LPPSA kali pertama Jenis 4, iaitu pinjaman membeli tanah bagi tujuan membina rumah. Anda layak untuk menyemak pinjaman kali kedua bagi memohon pinjaman LPPSA Jenis 6, iaitu pinjaman bagi tujuan membina rumah ke atas tanah tersebut.
Langkah-Langkah Semak Kelayakan LPPSA.
1) Log masuk ke dalam akaun LMS LPPSA Anda.

Masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang anda daftarkan. ID Pengguna adalah nombor kad pengenalan anda.
Jika anda terlupa kata laluan, boleh tekan link 'Terlupa kata laluan?' untuk reset kata laluan anda.
2) Klik pada Kalkulator -> Ansuran Bulanan.

Klik pada pilihan Kalkulator dan seterusnya Ansuran Bulanan di menu sebelah kiri paparan.
3) Isikan maklumat peribadi dan maklumat gaji terkini.

Isikan maklumat peribadi anda dan rujuk slip gaji terkini untuk isikan maklumat gaji anda.
4) Isikan maklumat pinjaman, tempoh pinjaman dan harta yang anda ingin beli.

Jika anda belum pernah memohon pembiayaan LPPSA, pilih pembiayaan pertama dan isikan maklumat amaun pinjaman yang anda ingin pinjam.
Tempoh pinjaman maksimum adalah 420 bulan bagi pinjaman pertama dan 360 bulan bagi pinjaman kali kedua.
5) Pilih takaful / insurans Gadai Janji dan Perlindungan Pemilikan Rumah Kediaman.

Pilih syarikat takaful atau insurans yang anda selesa dan percaya. Mengikut pengalaman kami, kebanyakan pelanggan kami memilih Etiqa Takaful dan Takaful Malaysia.
6) Laporan semakan kelayakan LPPSA anda dikeluarkan.

Laporan kelayakan LPPSA anda akan dipaparkan. Di paparan ini anda akan dapat lihat keputusan kelayakan anda samaada layak atau tidak layak.
Jika tidak layak, ia akan disertakan dengan alasan. Di paparan ini juga anda dapat lihat kelayakan maksimum anda dan tempoh pembayaran maksimum.
Cara Semak Kelayakan LPPSA Yang Lebih Mudah?
Peguam panel LPPSA kami boleh semak kelayakan bagi pihak anda. Anda boleh hubungi kami melalui whatsapp atau panggilan telefon.
Anda hanya perlu hantarkan kepada kami maklumat-maklumat ini :
- Salinan Kad Pengenalan.
- Salinan Slip Gaji Terkini.
- Harga belian rumah atau tanah.
- Pernah buat pinjaman LPPSA? Jika pernah, berikan nilai pinjaman LPPSA kali pertama dahulu.
Dalam masa kurang 24 jam, pihak kami akan hantarkan kepada anda keputusan kelayakan LPPSA anda.
Jika anda layak dan ingin teruskan permohonan, kami akan sediakan sebutharga guaman terbaik bagi urusan pinjaman LPPSA anda.
Jika tidak layak, tiada apa-apa bayaran dikenakan. Khidmat semakan kelayakan LPPSA ini kami berikan secara percuma.
Firma kami telah terbukti berjaya membantu penjawat awam untuk memohon pinjaman LPPSA dan seterusnya merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah. Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh bertanya di ruangan komen.